Ibu tunggal perlu RM1,000 sebulan urus anak koma - Utusan Malaysia

Ibu tunggal perlu RM1,000 sebulan urus anak koma

MAHFUZAH Idris memastikan anaknya Muhammad Afiq yang koma selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya tiga tahun lalu sentiasa dalam keadaan selesa. UTUSAN/AINAL MARHATON ABD GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Begitu pepatah sesuai menggambarkan situasi seorang ibu tunggal yang perlu menanggung tiga anak termasuk seorang daripadanya koma akibat kemalangan jalan raya, tiga tahun lalu.

Mahfuzah Idris, 45, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan upah RM45 sehari mengakui sumber kewangannya sangat terhad dan perlu menyusun perbelanjaan dengan lebih berhemah.

Menurutnya, anak sulungnya, Muhammad Afiq Rahim, 22, kini terlantar di rumah kesan daripada kemalangan yang menimpa dirinya ketika menetap bersama bapanya di Batu Pahat, Johor.

Katanya, perbelanjaan menguruskan Muhammad Afiq mencecah RM1,000 sebulan bagi menyediakan keperluan seperti susu, lampin pakai buang, gauze, tisu basah, losyen kuning, pita pelekat dan tiub susu.

Dia juga perlu menyediakan kos bagi perkhidmatan ambulan swasta dengan bayaran antara RM200 hingga RM300 untuk rawatan anaknya itu di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Selain itu, Mahfuzah juga menanggung dua lagi anaknya, Nur Adriana Rahim, 18, yang belajar di Kolej Universiti Maritim Netherlands, Johor Bahru dan Nur Alia Dina, 15, belajar di Sekolah Menengah Agaman (SMA) Al-Iftifaqiyyah, Guai, Temerloh.

“Saya juga peruntukkan RM500 sebulan untuk belanja anak kedua di kampus manakala adiknya pula RM300.

“Saya perlu berjimat malah ada ketikanya wang belanja terputus kerana tidak bekerja untuk menjaga Muhammad Afiq jika dia demam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Taman Balok Makmur, di sini semalam.

Menceritakan bagaimana kemalangan itu berlaku, Mahfuzah berkata, motosikal yang ditunggang anaknya terbabas dan melanggar tiang lampu jalan.

“Kemalangan itu menyebabkannya Muhammad Afiq koma kerana parah di kepala dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Batu Pahat lima hari sebelum dipindahkan ke wad biasa selama sebulan,” katanya.

“Muhammad Afiq menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan dan bantuan zakat RM300,” katanya.

Bagi yang ingin membantu, Mahfuzah boleh dihubungi di talian 017-9216369 dan sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun beliau 7036443614 (CIMB). -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya