TAMPIN: Sejak sembilan tahun lalu, seorang ibu tabah menjaga anak lelaki sulungnya yang kini terlantar kerana mengalami masalah saraf selepas terminum racun anai-anai.
S. Mariyayee, 42, berkata, walaupun sedih melihat keadaan anaknya, A. Kanagarasan, 24, dia tetap menjaga anaknya itu sepenuh hati bagi memastikan anaknya itu sentiasa berada dalam keadaan baik.
“Sejak anak saya terlantar seperti ini, saya sudah lama tidak berjalan jauh kerana dia akan kelihatan sedih jika saya tiada di rumah, walaupun hanya keluar sebentar ke pekan.
“Selepas dia tidur barulah saya dapat tidur, kemudian seawal pukul 5.30 pagi saya akan bangun membersihkan dirinya kemudian memberikannya susu khas,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Taman Gunung Mas, di sini, semalam.
Mariyayee berkata, anaknya itu ada menerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan yang akan dinaikkan kepada RM500 sebulan tidak lama lagi seperti yang diumumkan kerajaan.
Menurutnya, kenaikan bantuan itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban mereka sekeluarga bagi menyediakan keperluan Kanagarasan yang melebihi RM1,000 setiap bulan.
“Suami bekerja sebagai pemandu lori dan anak ketiga pula bekerja sambilan sambil membantu saya menjaga abangnya.
“Dua orang anak lagi masih belajar di mana seorang di sebuah universiti awam dan seorang lagi di sekolah menengah,” katanya.
Menurutnya, perbelanjaan bagi menjaga Kanagarasan banyak kepada membeli susu khas yang diberikan tiga jam sekali selain lampin pakai buang.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyumbang menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0511729000015745 di atas nama S. Mariyayee.-UTUSAN ONLINE