Hotel jadi lokasi edar dadah - Utusan Malaysia

Hotel jadi lokasi edar dadah

SEBAHAGIAN dadah dan wang tunai yang dirampas daripada dua lelaki dalam serbuan di sebuah hotel di Alor Setar hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tindakan dua lelaki yang menjadikan hotel di bandar raya ini sebagai lokasi pengedaran dadah, gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila kedua-duanya ditahan polis, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, lelaki berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an itu ditahan dalam serbuan dilakukan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, kira-kira pukul 1 pagi.

“Serbuan di bilik didiami mereka di sebuah hotel di sini turut menemukan satu beg sandang yang mengandungi dua bungkusan plastik lut sinar bersaiz besar di dalamnya.

“Plastik tersebut berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 101.94 gram,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM7,400 yang ditemukan bersama mereka.

“Kedua-duanya menjalani ujian air kencing dan didapati positif dadah jenis methamphetamine. Nilai rampasan keseluruhan berjumlah kira-kira RM10,000 manakala dadah yang ditemukan itu dianggarkan dapat memenuhi permintaan kira-kira 200 penagih.

“Kedua-dua mereka yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan masing-masing dipercayai telah menjalankan kegiatan haram itu sejak 15 dan lima tahun lalu,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek itu direman selama enam hari bermula hari ini.

Jelasnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya