Harga murah, hospital swasta henti ujian saringan - Utusan Malaysia

Harga murah, hospital swasta henti ujian saringan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Institusi kesihatan swasta di seluruh negara berkemungkinan menghentikan perkhidmatan ujian saringan Covid-19 sekiranya kerajaan menetapkan harga yang tidak berpatutan atau tidak dipersetujui mereka.

Ini berikutan hospital dan klinik swasta perlu mempertimbangkan kos-kos operasi melibatkan makmal, sewa bangunan, gaji kakitangan dan peralatan perubatan sekali gus mengelakkan kerugian pada masa akan datang.

Menyatakan kebimbangan itu, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh menyarankan agar kerajaan berunding bersama pihak swasta sebelum mencapai konsensus tentang tetapan harga bagi kedua-dua ujian saringan Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen.

“Saya bimbang mungkin hospital dan klinik swasta mengalami kesukaran dan seterusnya berhenti daripada menjalankan ujian saringan tersebut.

“Setakat ini, belum ada apa-apa maklumat atau panggilan dari kerajaan untuk berbincang bagaimanapun, kami terbuka untuk berunding. Kerajaan akan tampil dengan cadangan harga dan APHM juga akan cadangkan harga yang munasabah.

“Kami berusaha untuk memberikan yang terbaik pada masa sama memastikan kelangsungan perkhidmatan. Justeru, kami mahu kerajaan faham situasi begitu juga sebaliknya. Biar kedua-dua pihak dalam situasi yang menang-menang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kenyataan itu hadir sebagai berkongsi luahan masalah kos saringan Covid-19 yang masih belum selesai. Kelmarin, Majlis Keselamatan Negara (MKN) selaras di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 akan menetapkan harga ujian saringan Covid-19 di hospital dan klinik swasta dalam tempoh terdekat.

Harga bagi ujian RT-PCR dan RTK-Ag di pusat rawatan kerajaan bagi warganegara masing-masing berharga RM150 dan RM60 manakala bukan warganegara berharga RM250 dan RM120.

Dalam laporan eksklusif Utusan Malaysia sebelum ini mendedahkan, terdapat hospital dan klinik swasta didakwa mengenakan harga mencecah hampir RM1,000 termasuk caj-caj tersembunyi. Malah kakitangan swasta yang menjalankan perkhidmatan berkenaan didapati tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Sebelum ini, Kuljit mengesyorkan kadar minimum bagi kedua-dua ujian di antara RM300 sehingga RM400 seorang selain menyifatkan harga tersebut sebagai paling murah – kurang daripada jumlah itu – pusat rawatan swasta tidak boleh beroperasi.

Ditanya pilihan lain untuk hospital dan klinik swasta menjadikannya sebagai sumbangan dalam tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk masyarakat, kata Kuljit, bukan masa sesuai untuk melakukannya.

“Tidak. Kami tiada sumber kewangan dan sepanjang tahun lalu kami sudah kerugian terlalu banyak kerana kekurangan pesakit dan tiada perubatan pelancongan. Pendapatan awal semuanya sudah dilaburkan ke dalam perniagaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN