Hanya dapat komisen RM1 - Utusan Malaysia

Hanya dapat komisen RM1

Penumpang bas di Terminal Bas Sungai Nibong di sini semakin berkurangan ekoran penularan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Penjual tiket di Terminal Bas Sungai Nibong di sini semakin dihimpit tekanan apabila punca pendapatan harian mereka berkurangan sehingga 90 peratus ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekali gus memaksa ramai pengusaha kaunter gulung tikar.

Tinjauan Utusan Malaysia di sini semalam mendapati, daripada 41 buah kaunter tiket yang beroperasi sebelum ini kini hanya tinggal dua yang mampu bertahan.

Difahamkan, sebanyak 11 kaunter syarikat bas ternama terpaksa menamatkan operasi disebabkan tidak mampu me­langsaikan hutang bulanan dari Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selepas terjejas pendapatan.

Seorang penjual tiket, Azizul Rahmat, 41, berkata, dia kini tertekan mengenang masa depan dan terpaksa bertahan bagi menyara kehidupan isteri dan empat cahaya mata.

Menurutnya, pendapatan hariannya hanya bergantung kepada komisen daripada hasil penjualan tiket bas sehari.

“Melihat keadaan ketika ini, hendak dapat komisen RM7 sehari pun payah. Kami perlu membahagikan hasil komisen RM5 bagi setiap satu tiket bas dengan beberapa pekerja lain.

“Bayangkan, jumlah penumpang bas juga kurang daripada 10 orang setiap hari sejak PKP lalu dan untuk hari ini sahaja (semalam), tiket baru dijual kepada dua penumpang dari pukul 7 pagi hingga 1 petang,” katanya.

Azizul memberitahu, sebelum PKP tahun lalu, kira-kira 100 keping tiket bas dijual kepada pelanggan setiap hari dengan komisen yang diperoleh RM12.

“Saya kini mengharapkan wang bantuan kerajaan dan pengeluaran i-Sinar semata-mata bagi menampung keluarga, sewa rumah dan hutang bank,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN