Hajat pengedar dadah kaut untung besar terbantut - Utusan Malaysia

Hajat pengedar dadah kaut untung besar terbantut

ASHARI ABU SAMAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Hasrat seorang lelaki untuk mengaut untung besar menerusi jualan dadah di kawasan tanah tinggi di sini terbantut apabila diberkas polis Isnin lalu.

Lelaki berusia 36 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands di sebuah rumah di Ringlet pada pukul 12.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Ashari Abu Samah berkata, lelaki itu ditahan hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan mengenai aktiviti pengedaran dadah di sini.

Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya menemui plastik lutsinar mengandungi 61 peket kecil berisi dadah jenis syabu seberat 117.87 gram yang dianggarkan bernilai RM17,550.

“Semasa serbuan dijalankan di rumah sewa lelaki itu, suspek didapati sedang membungkus dadah berkenaan untuk edaran di sekitar kawasan tanah tinggi ini.

“Siasatan mendapati, bekalan dadah itu diambil dari Tapah dan Ipoh untuk dijual di sini dengan nilai jualan berganda iaitu RM100 bagi satu tiub syabu seberat 0.5 gram berbanding harga pasaran di luar Cameron Highlands bernilai RM40 hingga RM50,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Cameron Highlands di sini hari ini.

Menurut Ashari, suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak empat bulan lalu dengan membekalkan dadah khususnya di kawasan Ringlet dan Tanah Rata.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati suspek sangat berhati-hati menjalankan urus niaga dengan hanya menjual dadah kepada pelanggan tetap.

“Suspek memang mempunyai pasaran di sini dan dia juga sangat berhati-hati di mana urusan jual beli dibuat melalui panggilan telefon oleh orang dikenali dan kaedah pembayaran pula melalui kaedah bayar masa terima (COD)

“Siasatan juga mendapati, harga dadah yang dijual suspek lebih tinggi di sini berbanding biasa kerana bekalan dadah perlu diambil luar dari Cameron Highlands,” katanya.

Tambah beliau, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah.

“Suspek kini direman tujuh hari sehingga Isnin ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN