Guru sebagai penerima vaksin terawal-PFM - Utusan Malaysia

Guru sebagai penerima vaksin terawal-PFM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Persatuan Farmasi Malaysia (PFM) mencadangkan guru disenaraikan sebagai kumpulan pertama yang perlu menerima vaksin Covid-19.

Presidennya, Amrahi Buang berkata, menyenaraikan golongan pendidik itu sebagai penerima terawal membolehkan sesi persekolahan dijalankan seperti sebelum ini.

“Umum mengetahui bahawa sesi pengajaran dan pembelajaran amat terjejas dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana, sesi tersebut diganti dengan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Sekiranya pihak guru diberikan vaksin, ini akan memberikan sedikit keyakinan kepada ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke sekolah semula,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dijangka dilaksanakan pada penghujung bulan ini.

Menurutnya, program terbabit akan dilaksanakan secara tiga fasa dengan fasa pertama membabitkan kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan.

Dalam pada itu, Amrahi berkata, kajian dilakukan pihaknya mendapati jumlah individu yang mendapat jangkitan Covid-19 di sekolah adalah amat sedikit berbanding jumlah kes jangkitan di tapak pembinaan.

Katanya, risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan sekiranya kumpulan guru mendapat vaksin berkenaan secepat mungkin. 

“Oleh kerana Covid-19 telah berada dalam komuniti, kita harus belajar untuk hidup bersama wabak ini seperti penyakit berjangkit lain seperti denggi dan selsema.    

“Pengambilan vaksin dan pematuhan kepada norma baharu seperti penjarakan fizikal, memakai pelitup muka serta sentiasa membersihkan tangan dapat mengekang penularan wabak ini,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN