PUTRAJAYA: Golongan guru dan pengamal media akan disenaraikan dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bersama lebih 200,000 barisan hadapan yang sudah berdaftar untuk menerima vaksin.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya menyedari terdapat banyak permintaan yang mahu dua golongan itu dimasukkan dalam fasa pertama yang akan bermula pada 24 Februari ini.
Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata, permintaan terbabit dilihat wajar memandangkan sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi manakala pengamal media menjadi penyampai maklumat bagi pihak kerajaan terutama menjayakan program imunisasi.
“Kami sudah meminta Kementerian Pendidikan menyenaraikan golongan guru yang berisiko tinggi untuk diberi vaksin terlebih dahulu dan perkara ini akan dibawa bagi membolehkan keputusan dibuat dalam mesyuarat dengan Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin.
“Kerajaan akan memenuhi keperluan guru dan pengamal media berdasarkan bekalan vaksin bagi fasa pertama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena acara ketibaan bekalan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang diadakan secara maya di sini hari ini.