PENDANG: Nyaris tidak dapat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana cedera akibat kemalangan jalan raya, seorang pelajar akhirnya menarik nafas lega apabila dia dijemput guru ke dewan peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tobiar di sini hari ini.
Pelajar, Mohd. Hafizi Zamri, 17, berkata, dia lega apabila dapat menduduki SPM walaupun pergerakannya terbatas akibat patah tangan kiri dan terseliuh di bahagian lutut serta luka pada badan akibat kemalangan itu.
“Saya terlibat kemalangan sembilan hari lalu selepas motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang terbabas di kawasan kampung.
“Keadaan saya bertambah baik dan boleh menduduki SPM, namun bimbang tidak dapat ke sekolah kerana kereta bapa jenis rosak,” katanya yang tinggal di Kampung Charok Binu, Mukim Guar Kepayang di sini hari ini.
Kata anak bongsu daripada tiga beradik itu, pada kelmarin iaitu sehari sebelum peperiksaan bermula, dia mendapat khabar gembira semasa dilawati guru kelasnya, Zubaidi Ibrahim.
“Cikgu Zubaidi datang melawat di rumah pada petang Ahad dan selepas melihat kesukaran saya bergerak, dia menawarkan diri untuk membantu saya sepanjang peperiksaan berlangsung.
“Pagi tadi, Cikgu Zubaidi mengotakan janjinya dengan datang mengambil dan membawa saya ke sekolah untuk menduduki peperiksaan,” ujarnya.
Tambahnya, dia sekeluarga berterima kasih atas keprihatinan gurunya yang membolehkannya menduduki peperiksaan SPM bagi kertas 1 Bahasa Melayu hari ini.
“Insya-Allah dengan segala persediaan, saya berjanji untuk mendapat keputusan terbaik bagi menghargai pengorbanan Cikgu Zubaidi membantu sepanjang tempoh peperiksaan ini berlangsung,” katanya.
Bapa Mohd. Hafizi, Zamri Hussin, 45, bekerja sebagai pengawal keselamatan manakala ibunya, Rohani Deraman, 44, suri rumah. -UTUSAN ONLINE