Great Eastern Takaful Bhd. bantu 16 keluarga mangsa banjir - Utusan Malaysia

Great Eastern Takaful Bhd. bantu 16 keluarga mangsa banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Great Eastern Takaful Bhd. (GETB) bantu 16 keluarga  mangsa banjir di Temerloh, Pahang. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrul Azlan Shahriman berkata, pihaknya simpati dengan keluarga-keluarga yang ditimpa musibah tersebut dan syarikat itu telah mengeluarkan dana sebanyak RM10,000. 

“Kami memahami apa yang sedang dilalui oleh mangsa-mangsa banjir ini yang pada masa ini amat terdesak kerana tidak menjangkakan musibah sedemikian. Sudah tentu ia boleh berlaku di mana dan pada sesiapa sahaja. 

“Bantuan yang kami hulur ini, hanyalah sebuah token bagi meringankan beban mereka untuk menampung perbelanjaan bagi membeli barangan keperluan. Ini juga membuktikan sebab utama kita perlukan simpanan yang mencukupi untuk menghadapi masa sukar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Shahrul Azlan dan pasukannya telah turun padang di Mentakab dan Temerloh untuk menyampaikan semua bantuan itu kepada keluarga-keluarga yang terjejas akibat banjir. 

Penerima bantuan, Armaizal Ab Razak, 39, daripada Kampung Sungai Rabit, Temerloh amat bersyukur dengan pemberian daripada GETB. 

“Sebagai peniaga kecil yang menjual nasi kukus dan nasi kerabu di pekan Temerloh, sudah tentu musibah banjir dan kemudian pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menjejaskan pendapatan saya. Itu belum termasuk lagi kerugian kerosakan harta benda berikutan bencana banjir. 

“Saya amat berterima kasih kepada GETB kerana sangat prihatin dengan keadaan mangsa banjir. Bantuan yang dihulurkan memberi makna besar dan saya akan gunakan bantuan itu untuk membaiki pintu depan dan belakang rumah saya yang rosak akibat banjir,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN