Gerakan bukan beban PN  - Utusan Malaysia

Gerakan bukan beban PN 

MOHD. REDZUAN Md. Yusof (kiri) bersama Idris Haron (kanan) melihat barangan keperluan harian pada majlis penyerahan kit makanan (Nadma) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi golongan terjejas di Parlimen Tangga Batu di Dewan Japerun Sungai Udang, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) tidak akan menjadi beban kepada Perikatan Nasional (PN) terutama dalam soal pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.

Menegaskan perkara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, meskipun kini parti itu tidak mempunyai sebarang kerusi Parlimen, namun, agenda untuk membentuk jajaran politik baru adalah lebih penting buat masa ini.

Beliau berkata, selaku sebuah entiti politik yang baharu ditubuhkan, PN perlu diperkasakan dengan menambah komposisi supaya lebih merangkumi setiap lapisan masyarakat.

“Saya sendiri tidak rasa bimbang ataupun tidak menganggap itu (Gerakan) bebanan kepada PN. Yang pentingnya, kita tunjukkan kepemimpinan kita kepada semua lapisan masyarakat. 

“Tidak timbul soal Gerakan diberi kerusi dalam perbincangan, sebab dia (Gerakan) tidak ada kerusi Parlimen sekarang ini. Kita akan cuba untuk menambah baik komposisi PN untuk lebih boleh merangkumi semua lapisan masyarakat terutamanya pengundi-pengundi di Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Udang di sini, hari ini.

Gerakan secara rasmi diterima sebagai salah sebuah parti anggota PN pada Khamis lalu.

Sebelum itu, Mohd. Redzuan hadir merasmikan Majlis Penyerahan Kit Makanan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi Parlimen Tangga Batu.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai kes kecurian empat unit telefon bimbit milik pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) itu berkata, pihak berwajib telah mengambil tindakan susulan dalam meningkatkan soal keselamatan.

“Kita tak boleh leka, kita kena tingkatkan anggota-anggota yang ada di situ supaya lebih kerap melakukan kawalan dan sebagainya,” ujarnya.

Polis telahpun menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dengan kes kecurian berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, pegawai perubatan bertugas terdengar kekecohan dalam kalangan pesakit yang sedang mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata, susulan itu pegawai perubatan terbabit mengaktifkan kod oren dengan meminta bantuan anggota polis bertugas bagi meredakan keadaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN