Geng curi kelapa sawit diberkas - Utusan Malaysia

Geng curi kelapa sawit diberkas

SEBUAH lori berserta muatan buah kelapa sawit bernilai RM2,000 yang disyaki dicuri dari sebuah kebun di Mukim Machap Baru, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/HADI AB. MANAP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Polis berjaya menahan lima lelaki yang disyaki aktif melakukan kegiatan mencuri buah kelapa sawit.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, bertindak daripada makluman orang awam, sepasukan polis dari Balai Polis Durian Tunggal telah membuat serbuan di sebuah kebun kelapa sawit di sini, semalam.

Beliau berkata, ketika tangkapan, kesemua suspek didapati sedang asyik memunggah masuk buah curi itu ke dalam sebuah lori.

“Sepasukan polis telah berjaya menangkap lima orang lelaki India sedang memunggah buah kelapa sawit masuk ke dalam sebuah lori jenis Hicom berwarna merah di sebuah kebun di Mukim Machap Baru.

“Polis juga merampas peralatan mencuri buah kelapa sawit iaitu tiga batang besi loading, satu bilah sabit sawit panjang berserta lori bermuatan anggaran berat tiga tan yang bernilai RM2,000,” katanya di sini hari ini.

Tambah Arshad lagi, kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan sedang ditahan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Alor Gajah untuk siasatan lanjut. 

“Kes ini telah disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” jelasnya. -UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN