PADANG BESAR: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) negeri mematahkan cubaan menyeludup kira-kira 277.7 kilogram gamat kering bernilai RM83,310 dari Thailand yang dipercayai tidak memiliki permit yang sah di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, Selasa lalu.
Pengarah Maqis Perlis, Mohamad Arshad Raffin berkata, gamat kering tersebut ditemukan pihaknya selepas menahan sebuah lori yang membawa pelbagai jenis ikan basah dan sotong dari negara jiran itu pada pukul 11 pagi.
Katanya, hasil daripada pemeriksaan rutin mendapati di dalam lori tersebut terdapat gamat kering seberat 277.7 kilogram yang diletakkan dalam 12 tong.
“Dagangan tersebut ditahan untuk tindakan lanjut oleh Maqis kerana dipercayai tidak memiliki permit import yang sah ketika pemeriksaan dijalankan.
“Perbuatan mengimport barang dagangan tanpa mengemukakan permit import akan disiasat dibawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
“Jika sabit kesalahan boleh didenda di bawah Seksyen 11(3), tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Arshad memberitahu, pihaknya sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar, serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.