Food Bank perlu diperluas semua premis perniagaan - Utusan Malaysia

Food Bank perlu diperluas semua premis perniagaan

RAZALI IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Konsep Food Bank perlu diperluas oleh semua premis perniagaan dan pusat keagamaan bagi membantu kelangsungan hidup golongan yang memerlukan.

Langkah itu juga sekaligus dapat meringankan beban semua pihak ketika negara dilanda wabak Covid-19 ini.

Pengerusi Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Datuk Razali Idris, berkata, ia wajar ditonjolkan pada setiap premis perniagaan yang bukan saja merangkumi pasar raya berskala besar atau sederhana, malah membabitkan semua pihak.

Ia termasuklah pasar basah, tani dan pasar malam, selain kedai runcit, restoran, kedai cermin mata, farmasi, stesen minyak dan kedai basikal dimana tempat khas boleh disediakan bagi meletakkan bantuan keperluan asas barangan.

“Kita faham perniagaan dan ekonomi tidak menentu sekarang dan ia bukan satu paksaan kepada setiap premis perniagaan menyediakan ruang Food Bank, sebaliknya hanya satu tanggungjawab bagi membantu golongan memerlukan dengan sumbangan bergantung kepada kemampuan masing-masing.

“Selaras usaha murni ini, pusat keagamaan seperti pengurusan surau, masjid, tokong, kuil dan gereja juga boleh menyokong konsep Food Bank dengan lebih meluas kerana keberadaan pusat keagamaan dekat dalam kelompok komuniti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam masa yang sama, Razali turut berkata, langkah proaktif konsep Food Bank yang digerakkan secara bersepadu akan memberi impak efektif kepada kerajaan menerusi Program Bakul Makanan.

Ia termasuk Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat (PERMAI) dilaksanakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Konsep Food Bank berlandaskan sikap kesukarelawanan membolehkan jiwa kebajikan terus dipupuk dalam kalangan rakyat memberi manfaat secara langsung kepada golongan memerlukan.

“Ia tidak kira kelompok B40 (kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah) M40 (40 peratus pertengahan), pelajar, orang kurang upaya (OKU), anak asnaf, mangsa banjir, gelandangan dan rumah kebajikan orang tua,” tambahnya lagi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya