Fatwa vaksin Covid-19 turut disepakati ulama luar negara - Utusan Malaysia

Fatwa vaksin Covid-19 turut disepakati ulama luar negara

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer BioNTech di Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya Presint 11 hari ini di sini, hari ini.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut menerima pelbagai pandangan tokoh agamawan dari luar negara sebelum memuktamadkan hukum fatwa vaksin Covid-19.

Ia diakui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai ahli panel terakhir dan merumuskan Forum Perdana Ehwal Islam malam tadi.

“Saya sendiri juga mendapatkan pandangan ulama dari negara luar selain ada perbincangan khusus bersama pihak terbabit dalam isu fatwa yang berkaitan dengan wabak ini,” dedahnya.

Program bicarawara agama popular disiar TV1 RTM secara langsung dari Masjid Putra di sini turut mencipta rekod apabila membariskan sembilan panel dan paling ramai dalam sejarah.

Forum yang berlangsung selama 90 minit dengan tajuk ‘Vaksin: Cegah Sebelum Kalah’ itu diadakan bersempena Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilancarkan kelmarin.

“Ahli agama di negara Islam berkenaan juga merujuk golongan pakar perubatan untuk tahu lebih lanjut masalah dihadapi dan dibantu agar dapat penyelesaian lebih tuntas,” kata Zulkifli.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ilmuwan Islam dan pakar kesihatan perlu berbincang supaya memahami tepat isu yang berlaku, sekali gus fatwa dikeluarkan bersesuaian situasi semasa.

Tegasnya, apabila pihak Muzakarah Fatwa Kebangsaan memberi keputusan, banyak negara berhujah serupa dan pandangan Malaysia senada dengan apa berlaku di seluruh dunia Islam.

“Saya secara peribadi ada tulis surat kepada Syeikh Al-Azhar dan hantar surat kepada Mufti Mesir. Mereka juga beri pandangan serta buat perbincangan khusus sebelum keluar fatwa.

“Saya turut jumpa imam Mesir. Tanya solat jemaah di sana berdiri rapat atau jarak, Turki dan Syria pun sama, waima Makkah dan Madinah boleh tengok ‘live’ lagi keadaan sana,” ujarnya.

Justeru, Zulkifli dalam nada sindiran menyelar pihak tertentu khasnya umat Islam di Malaysia yang antivaksin dengan mempersoalkan, adakah ulama seluruh dunia tidak kaji teliti isu itu.

Seterusnya tambah beliau, mufti perlu bertindak adil untuk memastikan rakyat Malaysia hidup sihat dengan merujuk pandangan jujur daripada agamawan dan pakar bidang yang berkaitan.

“Apa dihujah pelbagai tokoh dan digabungkan dengan pakar, insya-Allah tidak ada niat lain kecuali yang baik serta dilakukan ikhlas demi negara dan masyarakat jua,” kata beliau lagi.

Beliau turut bercerita pengalaman berbual seorang ulama Arab terkenal mengenai isu solat jemaah ketika wabak perlu melindungi diri terlebih dahulu sejajar prinsip Maqasid Syariah.

Walhal kata Zulkifli, ia sepatutnya didahului prinsip menjaga agama dalam kedudukan teratas, namun cendekiawan itu berhujah bahawa jika tiada orang, maka tiada siapa akan jaga agama.

Antara panel forum kali ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Hishamshah Mohd. Ibrahim.

Turut serta ialah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah; Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin; Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir.

Pensyarah kanan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Izhar Arif Mohd. Kashim; pakar perubatan, Dr. Suhazeli Abdullah dan pendakwah terkenal, Firdaus Wong Wai Hung. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya