PONTIAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Johor telah membeli 200 metrik tan buah nanas daripada 30 orang pekebun kecil bagi mengatasi masalah lambakan buah tersebut akhir-akhir ini.
Pengarahnya, Sharizan Sudiman berkata, pembelian buah-buah nanas bagi varieti Moris tersebut melibatkan pekebun dari daerah ini, Muar dan Batu Pahat yang sebelum ini terpaksa mencari alternatif termasuk menggunakan media sosial bagi mendapatkan pembeli.
Katanya, FAMA bersama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) telah menghantar nanas Moris tersebut ke kilang untuk tujuan pemprosesan selain dipasarkan ke seluruh negara seperti ke Melaka, Lembah Klang dan Pantai Timur.
“Nanas Moris turut dijual secara promosi di outlet-outlet peruncitan FAMA seperti pasar tani, pasar tani kekal, gerai buah-buahan segar (GBBS) dan jualan secara atas talian. Malah, hasil daripada pemasaran secara dalam talian, sebanyak 20,000 biji nanas Moris telah dapat dijual.
“Pada bulan Mac depan, FAMA dan LPNM merancang pembeliaan nanas Moris dengan anggaran 95 metrik tan lagi, selain pasaran di media sosial seperti ‘Facebook Marketplace’, Agrobazar Online dan WhatsApp berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pada 14 Februari lalu, Mingguan Malaysia melaporkan sekumpulan pekebun kecil yang menanam buah nanas di tanah berkeluasan kira-kira 300 ekar di Kampung Parit Betak, Benut di sini runsing apabila tanaman mereka yang sudah boleh dituai kini berdepan lambakan ekoran aktiviti pembelian yang perlahan.
Rata-rata mereka yang menanam kira-kira 15,000 pokok bagi setiap ekar terpaksa menjual buah bervarieti Moris itu pada harga RM1 sebiji bagi mengelak buah rosak disebabkan peraih tidak mengambil tanaman itu dipercayai kerana kekurangan permintaan.
Tambah Sharizan, pengeluaran utama nanas Moris adalah di Pontian, Kluang, Batu Pahat dan Muar dengan anggaran keluasan tanaman adalah kira-kira 126.51 ekar yang berdaftar di bawah LPNM sehingga 15 Februari lalu.
“Kami terbuka dan bersedia untuk bekerjasama dengan mereka yang menghadapi masalah untuk memasarkan hasil-hasil pertanian termasuk nanas dengan menyertai program kontrak pemasaran,” ujarnya.
Jelas beliau, kontrak pemasaran atau ‘contract farming’ akan memberikan situasi menang-menang antara usahawan tani dengan FAMA sekaligus mengatasi masalah lambakan buah nanas yang tidak dapat dipasarkan.
Katanya, FAMA juga dengan kerjasama LPNM mengambil langkah proaktif membuat pemantauan awal serta menawarkan inisiatif bantuan pasaran kepada pekebun terjejas melalui pengaturan pasaran dan pemadanan bersama kilang pengetinan.
Sehubungan itu, Sharizan meminta usahawan yang mengalami masalah pemasaran agar segera menghubungi FAMA atau LPNM berdekatan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.
“Bagi memastikan keberkesanannya, FAMA telah menubuhkan satu taskforce pelan tindakan pemasaran yang melalui pusat operasi FAMA dan outlet pemasaran FAMA di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE