ARAU : Ketika ramai sedang berada di rumah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekumpulan enam individu termasuk tiga wanita pula sibuk berjudi di sebuah rumah di Kampung Rambai, Padang Siding di sini, semalam.
Bagaimanapun, keasyikan individu terbabit bermain judi pakau atau belangkas itu tidak kekal lama apabila mereka ditahan polis yang melakukan serbuan di rumah tersebut kira-kira pukul 8 malam.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Nanda Maarof memberitahu, kesemua mereka yang ditahan ketika leka bermain judi itu berumur antara 28 hingga 61 tahun.
Katanya, antara yang dirampas dalam serbuan tersebut beberapa peralatan judi dan wang tunai dianggarkan bernilai RM722.
“Kesemua suspek didapati dengan sengaja tanpa alasan munasabah ingkar arahan PKP. Kesemua suspek dan bahan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, kes disiasat dibawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa.
Sementara itu, enam individu tersebut direman selama dua hari sehingga esok.
Kesemua mereka tiba kompleks mahkamah Kangar di sini kira-kira pukul 9.50 pagi dan keluar kira-kira 20 minit kemudian selepas mendapat perintah tahanan reman.
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah.
|