REMBAU: Seronok berkumpul dan ada pula yang mempamerkan aksi menunggang motosikal secara berbahaya menyaksikan enam remaja dikompaun RM1,000 seorang di Jalan Tampin Kanan-Kundur, di sini pada 16 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Rembau, Pemangku Deputi Superintenden, Hazri Mohamad berkata, kesemua yang dikompaun merupakan remaja lelaki yang masih bersekolah dalam lingkungan usia 14 hingga 17 tahun.
Kesemuanya didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan dikompaun di bawah Peraturan 10, Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Unit Risikan Operasi 42 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan juga telah membuat tangkapan ke atas tiga daripada enam remaja lelaki itu yang menunggang motosikal dengan kelajuan yang berbahaya di lokasi berkenaan pada pukul 6.29 petang.
“Selain itu, remaja berkenaan juga didapati bersaing sesama sendiri dan membuat aksi wheely (mengangkat tayar hadapan) sambil melakukan aksi scorpion(berdiri sebelah kaki di atas motosikal) di mana aksi mereka merbahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain bermula dari arah Tampin Kanan menghala ke arah Kundur,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Hazri berkata, tiga remaja itu telah ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan. -UTUSAN ONLINE