JERANTUT: Enam ekor gajah liar yang ditangkap di hutan Tembeling Tengah berdekatan Kampung Doja Ulu Retang di sini Jumaat lalu dipindahkan ke Kompleks Taman Negara Terengganu.
Ketua Operasi Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Mohamad Khairul Adha Mat Amin berkata, penghantaran menggunakan treler khas bermula Isnin lalu dan berakhir semalam.
“Operasi pemindahan gajah terbabit memerlukan masa tiga hari yang mana pada hari pertama (Isnin) membabitkan dua ekor gajah jantan dan betina,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Mohamad Khairul Adha berkata, enam gajah membabitkan empat ekor betina dan dua jantan itu mengalami konflik habitat.
Jelasnya, operasi menangkap gajah itu menggunakan tiga gajah denak dari PKGK yang dilatih menjinakkan kesemua haiwan liar berkenaan.
Jelasnya, tiga gajah denak berkenaan diberi nama, Abok dan Rambai yang merupakan gajah betina dan Alam seekor gajah jantan.
“Operasi dijalankan melibatkan 25 anggota PKGK Kuala Gandah dan Unit Tangkapan Gajah Pahang mengambil masa hampir lima jam bermula dari pukul 8.30 pagi.
“Ia dilakukan selepas menerima aduan daripada penduduk kampung yang melihat haiwan liar itu sering berkeliaran tersasar daripada habitat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu,” katanya.