Elak sebar berita palsu mengenai vaksin Covid-19  - Utusan Malaysia

Elak sebar berita palsu mengenai vaksin Covid-19 

ISMAIL Mohamed Said (tengah) diberikan taklimat berkaitan penggunaan dron di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Markas PGA Lubok Stol, Rantau Panjang hari ini. -UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Kerajaan akan mengambil tindakan terhadap individu atau kumpulan yang menyebarkan berita palsu mengenai suntikan vaksin Covid-19 sehingga mencetus keadaan panik kepada rakyat di negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, tindakan akan terus diambil kepada golongan terbabit berpandukan kepada peruntukan undang-undang sedia ada.

Menurutnya, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) untuk mengesan dan mengambil tindakan tegas kepada golongan terbabit

“Isu pengambilan vaksin ini bukan sahaja melibatkan Covid-19, suntikan cacar sebelum itu turut mendapatkan tentangan daripada sesetengah golongan sehingga menyebabkan kadar imunisasi kanak-kanak merosot.

“Saya yakin rakyat Malaysia mempunyai pengetahuan dan tahap kesedaran tinggi bahayanya Covid-19,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) Lubok Setol di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat; Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar dan Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Operasi Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem), Senior Asisten Komisioner Ibrahim Saad.

Sebelum ini,  tular dalam media sosial apabila terdapat selintir golongan anti vaksin dikesan menyebarkan berita palsu berhubung pengambilan vaksin Covid-19.

Mengulas lanjut, Ismail memberitahu, kerajaan mempunyai peruntukan undang-undang di bawah ordinan darurat KDN untuk mengambil tindakan terhadap individu atau kumpulan yang terlibat dalam penyebaran berita palsu.

Katanya, sebarang penyebaran berita palsu yang menggugat kestabilan negara akan berdepan tindakan tegas. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN