TEMERLOH: Pengeluaran madu lebah tualang khazanah rimba di negara ini yang diakui berkhasiat turun-temurun perlu dikekalkan dengan pemuliharaan kelestarian hutan semula jadi.
Pengumpul madu lebah tualang, Saudi Sidek, 60, berkata, jika habitatnya diganggu dibimbangi spesies itu ‘merajuk’ sekali gus memberi kesan kuantiti pengumpulan bagi menampung permintaan pengguna.
Beliau yang berpengalaman menjadi pengumpul madu lebah asli daripada spesies lebah tualang hampir 30 tahun mengakui hakikat akan perlunya kelestarian hutan semula jadi dipelihara dan dipulihara.
“Hutan adalah penyambung hayat pelbagai spesies flora dan fauna termasuk lebah tualang dan hidupan liar yang sebenarnya adalah rakan manusia itu sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Saudi berkata, dia bermula dengan membantu pencari madu lebah untuk memasarkan madu asli yang dikutip di pokok tualang sekitar 1991 seterusnya mencari punca rezeki yang sangat lumayan.
Menurutnya, sejak itu, dia menjadi pengumpul madu tualang tunggal di sekitar Kuala Gandah dan Hutan Krau di sini.
“Ketika ini, saya mempunyai lebih 30 bekas madu tualang asli yang disimpan di bilik khas sebagai stok bagi menerima tempahan pada bila-bila masa, ia dianggarkan kira-kira satu metrik tan,” katanya.
Beliau berkata, ekoran permintaan yang begitu menggalakkan, dia menjenamakan produk sendiri dikenali Madu Tualang Saudi Kuala Gandah Pahang.
Menurutnya, produk madu lebah tualangnya kini berada di 70 buah kedai di seluruh negara seperti Melaka, Johor, Kuala Lumpur selain di Temerloh, Jerantut dan Maran.
“Madu tualang yang dibotolkan mengikut saiz dijual antara RM50 hingga RM150 sebotol, ia mendapat permintaan tinggi daripada pengguna yang tahu khasiat madu asli lebah tualang,” katanya.
Beliau dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan kewujudan madu tiruan dalam pasaran tempatan yang dijual dengan harga murah kerana dicampur dengan bahan lain. -UTUSAN ONLINE