Edar dadah, buruh terlepas hukuman mati - Utusan Malaysia

Edar dadah, buruh terlepas hukuman mati

BURUH, Tang Chin Tart, 56, (kiri) kelihatan gembira bersama peguamnya, Ranjit Singh Sandhu berikutan terlepas daripada hukuman tali gantung atas pertuduhan mengedar dadah seperti diputuskan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Buruh berusia 56 tahun terselamat dari tali gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskannya daripada dua pertuduhan mengedar 2,601 gram dadah jenis monoacetylmorphine dan heroin di sini empat tahun lalu. 

Hakim Mohd. Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Tang Chin Tart selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan. 

Mohd. Radzi turut menolak keterangan yang dikemukakan oleh pegawai tangkapan dan penolong pegawai tangkapan kerana terdapat banyak percanggahan. 

Mengikut pertuduhan pertama, Chin Tart didakwa mengedar sebanyak 107.4 gram dadah jenis monoacetylmorphine dan heroin di sebuah rumah di Lebuh Sungai Pinang, di sini pukul 10.15 malam pada 8 Mei 2017. 

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan 15 kali sebatan jika sabit kesalahan. 

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengedar 2,493.6 gram dadah jenis monoacetylmorphine pada waktu, tarikh dan tempat yang sama. 

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Teh Li Siew manakala tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh Sandhu dan V. Santhiran. 

Dalam pada itu, Chin Tart yang berbaju T dan seluar berwarna putih kelihatan lega dan gembira dengan keputusan tersebut dan berterima kasih kepada peguamnya di luar mahkamah. – UTUSAN 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya