Dua PKRC swasta di Johor bulan depan - Utusan Malaysia

Dua PKRC swasta di Johor bulan depan

HASNI Mohammad (kiri) meninjau PKRC bersama R. Vidyanathan ketika melakukan lawatan di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Dua buah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) swasta dijangka beroperasi pada awal bulan depan bagi menempatkan pekerja warga asing. 

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, kedua-dua pusat penempatan tersebut kini dalam proses mendapatkan kelulusan daripada kerajaan Pusat sebelum dibenarkan beroperasi. 

Menurut beliau, ia melibatkan sebuah hotel di Iskandar Puteri dan sebuah asrama pekerja di kawasan Kota Tinggi, dekat sini.

“Ini adalah PKRC swasta yang pertama seumpamanya di Johor. Hotel tersebut boleh menempatkan kira-kira 250 pesakit Covid-19 manakala asrama pekerja berkenaan boleh menempatkan lebih ramai daripada itu. 

“PKRC swasta ini adalah untuk menempatkan pesakit bukan warganegara yang mana kos akan ditanggung oleh majikan ataupun pesakit sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), di sini hari ini. 

Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan; Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Aman Rabu dan Komander Operasi Johor, Mohd. Fathi Zaki Mohd. Zakaria. 

Terdahulu, Hasni sempat meninjau keadaan PKRC di Stadium MBPG yang menempatkan seramai 277 pesakit yang masih dikuarantin di stadium berkenaan. 

Hasni berkata, pendatang asing tanpa izin (PATI) yang positif juga boleh ditempatkan di PKRC swasta yang bersesuaian sekiranya fasiliti sedia ada sudah tidak dapat menampung.

“Selain PKRC swasta, pihak industri juga telah menambah baik tempat penempatan pekerja asing dengan menyediakan lebih banyak ruang agar tidak terlalu padat seperti dahulu.

“Ini adalah hasil pemantauan yang dibuat sebelum ini dan mereka memberi kerjasama dalam membendung penularan wabak Covid-19 dengan menyediakan penempatan yang kondusif bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN