Dua lelaki edar dadah berdepan tali gantung - Utusan Malaysia

Dua lelaki edar dadah berdepan tali gantung

DUA lelaki berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Kangar, Perlis hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat 250 kilogram di sekitar Padang Besar pada 1 Februari lalu.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dua lelaki berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat 250 kilogram di sekitar Padang Besar pada 1 Februari lalu.

Tertuduh adalah Fazeri Din, 51, dan Sukhron Ewon,40, yang masing-masing bekerja sebagai pemandu lori dan tukang masak.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, Sukhron bersama seorang lagi individu yang masih bebas, mengedar dadah jenis ganja seberat kira-kira 100 kilogram dalam sebuah kereta jenis Proton Persona di Kampung Batu Bertangkup , Mata Ayer, Padang Besar kira-kira pukul 7.10 pagi pada 1 Februari lalu

Bagi pertuduhan kedua pula, Sukhron dan Fazeri bersama individu yang masih bebas itu dituduh mengedar ganja seberat kira-kira 150 kilogram di sebuah rumah di Kampung Batu Bertangkup , Mata Ayer, Padang Besar pada pukul 7.50 pagi tarikh yang sama.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 39(B)(2) akta sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Kamaliza Md. Zain.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Inspektor Mohd Zulfadzli Salehen .

Sementara itu, Fazeri diwakili peguam Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim dan Syed Saifulizan Syed Abd Razak manakala Sukhron tidak diwakili mana-mana peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 13 April depan untuk serahan laporan kimia.

Pada 1 Februari lalu, polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah apabila merampas sebanyak 250.25 kilogram ganja dan 770 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai RM640,000 dalam tiga serbuan di sekitar Padang Besar.

Salah sebuah rumah yang diserbu pihak polis di Padang Besar itu juga dipercayai dijadikan transit bagi aktiviti penyeludupan dadah untuk pasaran sekitar Lembah Klang.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya