Dua kumpulan ugut simbah cat diberkas - Utusan Malaysia

Dua kumpulan ugut simbah cat diberkas

MIOR Faridalathrash Wahid (tiga dari kiri) menunjukkan barangan digunakan untuk menyimbah cat merah oleh kumpulan ah long yang menuntut hutang dalam sidang akhbar di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Membuat rakaman video selepas menyimbah cat merah di rumah peminjam bagi tujuan ugutan merupakan taktik dilakukan sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau ah long untuk menakutkan individu yang culas membayar hutang.

Bagaimanapun, perbuatan itu berakhir apabila enam individu termasuk remaja lelaki berusia 16 tahun yang disyaki mengambil upah membuat ugutan tersebut ditahan polis baru-baru ini.

Suspek berusia 16 hingga 42 tahun itu diberkas dalam operasi khas, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menerusi dua serbuan di Ipoh dan Manjung. 

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash berkata, tangkapan melibatkan dua kumpulan itu dilakukan susulan dua laporan polis oleh pengadu yang mendakwa rumah mereka disimbah cat merah dan ditampal notis amaran.

Katanya, notis amaran itu mengarahkan peminjam untuk menghubungi ah long semula.

“Kedua-dua mangsa tidak mengetahui jumlah pinjaman tersebut kerana dibuat oleh ahli keluarga mereka yang kini dipercayai berada di Singapura. 

“Risikan yang dilakukan kemudiannya membawa kepada tangkapan dua lelaki dan seorang wanita di sebuah bilik sewa di Bercham dan tiga lelaki di stesen minyak sekitar Manjung,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Perak di sini hari ini. 

Menurut beliau, siasatan mendapati dua kumpulan tersebut aktif menjalankan aktiviti itu sejak Mac dan Disember lalu sehingga kini.

 Katanya, sindiket itu juga didapati melakukan perbuatan khianat dengan menyimbah cat merah ke rumah keluarga peminjam dan membuat rakaman video bagi tujuan ugutan jenayah kepada keluarga peminjam. 

“Polis merampas lima telefon bimbit, cat merah, pakaian, botol cecair berwarna merah dan dokumen notis amaran.

“Siasatan lanjut mendapati empat suspek didapati positif dadah dan  kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan 427 Kanun Keseksaan,” katanya. -UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya