Dua dalang bawa masuk PATI ditahan - Utusan Malaysia

Dua dalang bawa masuk PATI ditahan

ANUAR OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR:  Dua lelaki warga Indonesia yang dipercayai dalang kegiatan menyeludup masuk dan keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini ditahan polis di perairan Pantai Kuala Kurau di sini, Selasa lalu.

Suspek berusia 32 dan 43 tahun itu ditahan dalam Op Pintas/Benteng oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Kontinjen Perak pada pukul 6 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, tangkapan yang turut dibantu pegawai dan anggota Marin Wilayah 1 dilakukan selepas membuat pemerhatian kira-kira 45 minit. 

Katanya, sebuah bot mengandungi 10 tong dan tangki besar dirampas dalam operasi itu selain sebuah magnetik kompas, sebuah telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM4,364.

“Siasatan mendapati suspek berusia 32 tahun itu bekerja sebagai tekong bot untuk mengangkut migran warga Indonesia.

“Suspek mengaku telah membawa masuk migran dari negara tersebut ke Malaysia menggunakan bot selain menghantar pulang 25 individu dari negara sama pada awal Disember lalu,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan, suspek juga memberitahu yang migran berkenaan naik melalui sebuah gudang penyimpanan bot di Juru, Pulau Pinang. 

Katanya, bayaran sebanyak RM1,200 dikenakan ke atas seorang penumpang untuk perjalanan ke Acheh, Indonesia. 

“Suspek dipercayai aktif dalam kegiatan penyeludupan migran warga Indonesia itu sejak bulan Mei 2019.

“Kedua-dua mereka yang gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah itu direman selama 14 hari di lokap Balai Polis Bagan Serai,” katanya.

Menurutnya, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN ONLINE

ANUAR OTHMAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya