KAJANG: Dua lelaki cedera manakala empat ditahan dalam kejadian pergaduhan di Taman Juara, Batu 9 di sini semalam.
Sumber polis berkata, polis menerima maklumat kejadian pada pukul 4.30 petang dan berjaya menyuraikan kejadian tersebut.
“Polis yang tiba di lokasi menemui tiga kereta sama ada dimiliki suspek atau mangsa di lokasi kejadian.
“Pergaduhan itu didakwa membabitkan parang dan berlaku di lokasi awam,” kata sumber.
Jelas sumber, dua mangsa yang dihantar ke Hospital Kajang dalam keadaan stabil dan polis masih menyiasat punca pergaduhan tersebut.
Tambah sumber, kejadian itu tular di media sosial dengan menunjukkan lebih 20 lelaki lari dan dikejar di kawasan perumahan. – UTUSAN ONLINE