Dipercayai bawa dadah,  pemandu nekad rempuh dua kenderaan - Utusan Malaysia

Dipercayai bawa dadah,  pemandu nekad rempuh dua kenderaan

Tangkap layar kereta suspek yang melanggar dua buah kereta bagi melepaskan diri dari polis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Seorang pemandu sanggup merempuh dua kenderaan di persimpangan lampu isyarat Sierramas di Sungai Buloh, di sini bagi mengelakkan daripada ditahan pihak polis.

Difahamkan, kenderaan yang dinaiki dua lelaki dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah itu cuba ditahan pihak polis selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan selepas memandu dari kampung Desa Aman menghala ke bulatan Sierramas.

Memberitahu Utusan Malaysia, sumber berkata, sebaik tiba di lampu isyarat Plaza Tol Sungai Buloh, anggota kereta peronda yang mengekori kenderaan terbabit telah mengarahkan mereka berhenti untuk pemeriksaan.

Namun, pemandu tersebut bertindak cuba merempuh anggota peronda dan kenderaan di lain yang terdapat di lokasi bagi melarikan diri dan menyebabkan tembakan dilepaskan seterusnya mengenai tayar mereka.

“Kenderaan yang dinaiki suspek kemudiannya melarikan diri sebelum ditinggalkan di tepi jalan Sungai Buloh menghala ke Kepong berhampiran Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Damansara Damai.

“Pihak forensik masih menjalankan siasatan, dipercayai ada jumpa dadah dan senjata dalam kenderaan itu. Kedua-dua suspek telah melarikan diri,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, tular satu video menunjukkan pemandu kereta Proton Waja, merempuh dua kenderaan di persimpangan lampu isyarat Sierramas di Sungai Buloh, bertujuan melarikan diri pada tengah hari tadi.

Video berdurasi satu minit 45 saat itu menunjukkan dua anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kenderaan itu selepas suspek enggan memberhentikan kenderaan.

Kenderaan dengan nombor pendaftaran MAS175 itu dilihat melanggar bahagian belakang di lori dan sisi kereta Perodua Myvi untuk mencelah di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Selepas gagal untuk mencelah di antara dua kenderaan di hadapannya, suspek kemudian mengundurkan kereta ke belakang dan melanggar kereta lain.

Bagaimanapun, selepas beberapa kali merempuh dua kenderaan di hadapannya, suspek akhirnya berjaya memecut kenderaannya.

Kejadian yang dipercayai berlaku antara pukul 12.50 tengah hari hingga jam 1 tengah hari dan telah dirakam oleh pengguna jalan raya lain yang turut berada di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal  mengesahkan kejadian itu berlaku di bawah bidang kuasa Balai Polis Sri Damansara yang mana di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, namun, anggota polis yang mengejar suspek adalah dari IPD Gombak.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian yang tular itu dalam masa terdekat.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya