DidikTV KPM ringankan beban ibu bapa - Utusan Malaysia

DidikTV KPM ringankan beban ibu bapa

Normala Sudirman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengenalan saluran televisyen pendidikan khas DidikTV Kementerian Pendidikan (DidikTV KPM) yang bermula semalam berupaya membantu dalam meringankan bebanan ditanggung ibu bapa.

Presiden Persatuan Kebajikan Pendidikan Ummah Malaysia (Pendidik), Normala Sudirman berkata, langkah itu dilihat sebagai satu inisiatif penting dalam pembelajaran norma baharu ketika ini.

“Pelancaran saluran televisyen itu diharap dapat membantu bukan sahaja murid, pelajar dan guru, tetapi juga golongan ibu bapa sebagai sokongan kepada kaedah pembelajaran sedia ada.

“Ini adalah penting kerana proses pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya atas beberapa kekangan termasuklah ketiadaan jaringan internet,” katanya di sini hari ini.

Normala mengulas langkah kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan mewujudkan saluran televisyen pendidikan secara percuma yang akan disiarkan selama 17 jam tanpa henti pada setiap hari.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan yang terlibat secara langsung dalam sektor pendidikan menyambut baik langkah kerajaan mewujudkan saluran televisyen tersebut.

Tambah beliau, pihaknya optimis dan percaya penambahbaikan akan dibuat dari semasa ke semasa bagi memastikan saluran DidikTV KPM terus diperkasa dan dapat mencapai matlamat pelaksanaan.

“Saluran DidikTV KPM merupakan platform untuk memupuk budaya ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat yang dirangkum khas dari aspek kurikulum dan ko-kurikulum,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN