DidikTV KPM boleh ditambah baik dari masa ke semasa  - Utusan Malaysia

DidikTV KPM boleh ditambah baik dari masa ke semasa 

MOHD. RIDHWAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Saluran DidikTV Kementerian Pendidikan (DidikTV KPM) perlu ditambah baik dari masa ke semasa supaya bersifat lebih interaktif agar murid dan pelajar mendapat pendidikan yang berkualiti.

Pengerusi Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (Me’didik), Mohd. Ridhwan Othman berkata, kerajaan juga harus bersifat terbuka kepada saranan serta pandangan daripada tenaga pengajar dan pelajar dalam merealisasikan matlamat itu.

“Me’didik mencadangkan agar rancangan DidikTV KPM dirangka supaya bersifat lebih interaktif di mana para pelajar boleh berinteraksi dengan guru yang mengajar melalui satu sistem yang direka khas bagi tujuan itu.

“Hal ini penting untuk memastikan penyampaian ilmu dapat dijalankan dengan lebih berkesan apabila wujud komunikasi dua hala antara guru dan murid,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.

DidikTV KPM yang dilancarkan hari ini menyiarkan program-program berteraskan kurikulum dan kokurikulum dengan pengisian dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari. 

DidikTV KPM boleh ditonton secara percuma menerusi saluran 107 di platform MYTV atau siaran TV satelit berbayar Astro saluran 147 dan juga siaran kabel UnifiTV di saluran 107.

Sementara itu, Mohd. Ridhwan berkata, Me’didik mengalu-alukan pengenalan rancangan itu membantu pelajar menjalani kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Menurut beliau, usaha berkenaan diharap dapat mengatasi kekangan yang dihadapi oleh tenaga pengajar dan murid-murid dalam menjalani PdPR.

“Antara isu pokok yang kerap dibangkitkan adalah masalah capaian internet dan ketiadaan peranti yang sesuai atau berkebolehan bagi tujuan tersebut.

“DidikTV KPM dilihat dapat memberi manfaat kepada hampir seluruh pelajar di negara ini. Namun, kerajaan harus memastikan mutu rancangan yang disiarkan menepati aspirasi dalam memberi pendidikan yang terbaik kepada rakyat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya