Diberi pinjam RM1,500, tapi ah long kata kena bayar RM36,000 - Utusan Malaysia

Diberi pinjam RM1,500, tapi ah long kata kena bayar RM36,000

LELAKI yang meminjam wang daripada ah long menunjukkan laporan polis dan rakaman CCTV pagar rumahnya dilempar cat merah pada sidang akhbar di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZAKI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Gara-gara tersilap meminjam daripada ah long sebanyak RM1,500, seorang pekerja restoran berdepan gangguan selain jumlah pinjamannya berganda sebanyak RM36,000 termasuk faedah yang dikenakan.

Malah, pagar rumahnya disimbah cat merah dipercayai oleh individu yang diupah ah long tersebut pada Selasa lalu selain diugut untuk membakar kediamannya.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Ah Wei, 22, berkata, pada 28 Januari lalu, dia kesempitan wang sebelum terbaca iklan pinjaman wang pada laman Facebook.

Dia kemudian menghubungi nombor tersebut menerusi WhatsApp dan telah berbual dengan seorang lelaki Cina bagi bertanyakan urusan untuk meminjam wang.

“Saya ingin pinjam RM1,500 dan lelaki itu berkata boleh tetapi dia beritahu saya cuma akan menerima RM600 sahaja lalu bersetuju.

“Dia juga memberikan syarat agar hutang dilunaskan dalam tempoh tiga hari kerana jika gagal faedah sebanyak RM600 dikenakan.

“Saya kemudian memberikan salinan kad pengenalan, salinan penyata bank dan bil elektrik rumah bagi proses permohonan pinjaman tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat DAP Perak di Medan Istana di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Biro Pengaduan Awam DAP Perak, Steven Chan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengglembu.

Malangnya, Ah Wei gagal melunaskan pinjaman pada tempoh yang ditetapkan sebelum dia dihubungi ah long tersebut dan didesak membuat pembayaran.

Katanya, pada 31 Januari lalu, dia menerima pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp dari ah long yang mahu dia membayar segera hutangnya yang berjumlah RM2,100.

“Keesokan harinya saya menelefon ah long itu untuk meminta dilanjutkan tempoh bayaran tetapi terkejut apabila diberitahu jumlah keseluruhan hutang sebanyak RM18,000.

“Jika gagal membayar kadar faedah akan naik sebanyak RM600 setiap dua jam. Kini hutang meningkat RM36,000 dan saya hidup dalam tekanan kerana sering terfikir bagaimana mahu melunaskan hutang selepas menerima ugutan,” ujarnya.

Dia yang merasa bimbang dan tertipu kemudian telah membuat laporan di Balai Polis Kampung Rapat di sini pada Isnin lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya