Derita Faqih jadi mangsa langgar lari - Utusan Malaysia

Derita Faqih jadi mangsa langgar lari

MOHD. Syahbuddin Hashim (tiga dari kiri) menziarahi Faqih Yusof yang patah tulang muka selepas menjadi mangsa langgar lari di Hentian Gua Musang, Kelantan minggu lalu. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Patah tulang muka, cedera parah di mata selain mengalami darah beku di kepala dan kini terlantar tidak berdaya di rumah di Kampung Tanah Putih di sini.

Demikan nasib malang Faqih Yusof, 17, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah (SM) Teknik Kuala Krai yang menjadi mangsa langgar lari di Hentian Gua Musang dekat sini minggu lalu.

Sejak kejadian pada pukul 11.08 malam, 14 Februari lalu, anak kelapan daripada 13 beradik itu sukar untuk bercakap, makan serta minum dan hanya mampu terbaring di atas katil.

Ibunya, Zuraini Ahmad, 47, berkata, Faqih dijadual menjalani pembedahan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Selasa ini.

Katanya, mereka sekeluarga kini sedang berusaha mengumpul wang bagi menampung kos pembedahan yang dianggarkan antara RM8,000 hingga RM10,000.

“Kami terkejut dan sedih dengan nasib yang menimpa Faqih. Diharap pembedahan pada bahagian mukanya Selasa ini berjalan lancar dan dia kembali pulih.

“Upah suami sebagai tukang urut tidak banyak, lebih-lebih lagi ketika musim Covid-19 ini. Kami terpaksa mendapatkan bantuan orang ramai untuk membiayai pembedahan itu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim yang turut menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.

Zuraini dalam pada itu bersyukur nasib malang menimpa Faqih mendapat perhatian dan simpati Mohd. Syahbudin serta orang ramai yang tampil membantu membiayai kos pembedahan anaknya.

Dalam kejadian Ahad lalu, Faqih dikatakan dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika menunggang motosikal bersendirian untuk pulang ke rumah dari tempat kerja.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian langgar lari tersebut.

Bagaimanapun katanya, MPV yang dipercayai melanggar mangsa masih belum dikesan.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan kepada Faqih boleh menyalurkannya kepada akaun Bank Islam 03063020077725 di atas nama ibunya iaitu Zuraini Ahmad. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya