PUTRAJAYA: Ibu bapa dibenarkan merentasi daerah atau negeri untuk menghantar anak mereka ke sekolah jika mempunyai surat kebenaran daripada pihak sekolah terbabit.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jaminan itu turut dipersetujui dalam perbincangan dengan pihak polis susulan kebimbangan ramai ibu bapa.
“Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut bersetuju ibu bapa tidak perlu dapat surat kebenaran khas daripada pihak balai polis,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya hari ini.
Dua hari lalu, beliau ketika ditanya pemberita ada berjanji untuk membawa isu itu kepada pihak Kementerian Pendidikan susulan pembukaan semula sesi persekolahan bulan depan.
Ia ekoran kerisauan ibu bapa yang perlu melalui banyak sekatan jalan raya (SJR) untuk merentasi daerah atau negeri bagi menghantar anak ke sekolah dan menjemput mereka balik.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri sebaliknya berkata, mereka hanya perlu ada surat dikeluarkan pihak sekolah termasuk urusan penghantaran anak balik ke asrama institusi pendidikan itu.
“Guru besar boleh mengeluarkan surat kebenaran untuk diberi terus kepada ibu bapa dan saya sendiri sudah bincang dengan pengurusan tertinggi polis mengenai isu ini,” katanya lagi.
Minggu lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan sesi persekolahan baharu kembali dibuka secara berperingkat mulai 1 Mac untuk persiapan oleh pihak sekolah dan ibu bapa.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan kebenaran untuk penghibur jalanan atau busker membuat persembahan di premis kedai makan, restoran, medan selera, warung atau gerai.
Kerajaan ujarnya, telah menerima rayuan daripada kumpulan itu yang banyak bergantung sara hidup menerusi aktiviti muzik jalanan di kawasan tumpuan ramai khasnya di premis makanan.
“Setelah berbincang dalam Jawatankuasa Teknikal, MKN bersetuju dengan syarat mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika persembahan,” katanya.
Kelonggaran ini jelas Ismail Sabri, turut meliputi negeri-negeri yang terlibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana lazimnya aktiviti itu dibuat di luar bangunan dan ruang terbuka.
Kebenaran itu kata beliau, susulan kelonggaran bilangan pelanggan makan di premis terlibat mengikut keluasan meja bermula 19 Februari lalu dan tidak terhad dua orang di satu meja. – UTUSAN ONLINE