Cubaan edar syabu seberat 32.69kg gagal - Utusan Malaysia

Cubaan edar syabu seberat 32.69kg gagal

ABD. Jalil Hassan (tengah) menunjukkan beberapa bungkusan dadah jenis syabu yang dirampas di IPK Pahang di Kuantan, Pahang hari ini. UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Cubaan seorang penganggur dipercayai mengedar dadah jenis syabu seberat 32.69 kilogram (kg) bernilai RM1.5 juta terbantut apabila ditahan sepasukan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman, dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Sabtu lalu.

Suspek yang merupakan lelaki berusia 40 tahun itu ditahan dalam sebuah sekatan jalan raya di KM7, Kuala Lipis kira-kira pukul 4.45 petang.

Ketua Polis negeri, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, hasil daripada sisatan awal mendapati suspek sudah bergiat aktif dalam tempoh tiga bulan.

“Suspek dipercayai memperoleh bekalan dadah daripada salah sebuah negeri di Pantai Timur.

“Kesemua dadah yang dirampas itu akan diedarkan di sekitar kawasan Lembah Klang.

“Pihak polis mendapati keseluruhan dadah itu boleh dibekalkan kepada kira-kira 65,386 orang pengguna dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Media di IPK Pahang di sini hari ini.

Abd. Jalil berkata, polis berjaya merampas 21 paket plastik lutsinar yang mana setiap satunya mengandungi plastik berwarna hijau bertulis Guanyinwang. 

Selain itu katanya, turut dirampas 10 bungkus plastik keemasan yang juga bertulis Guanyinwang berisi ketulan putih kristal dipercayai dadah jenis syabu.

“Polis turut merampas wang ringgit bernilai RM118 dan ketika penahanan turut mendapati suspek positif dadah hasil saringan awal dilakukan ke atasnya,” katanya.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman semingu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN