GEORGETOWN: Fenomena cuaca panas luar biasa yang melanda negara ketika ini menjadi punca peningkatan laporan kes kebakaran melibatkan belukar, hutan dan kebun di negeri ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Saadon Mokhtar berkata, kebakaran belukar atau lalang paling tinggi diterima iaitu sebanyak 94 laporan setakat hari ini melibatkan keluasan kira-kira 306.7 hektar.
Menurutnya, kejadian kebakaran di hutan dan kebun pula masing-masing merekodkan sebanyak 20 serta empat laporan sejak awal Januari lalu.
“Kita tidak menolak kemungkinan kejadian tersebut berikutan fenomena cuaca panas luar biasa sepanjang Februari ini sehingga berlaku kebakaran secara berlarutan.
“Bagaimanapun, kita sentiasa mengambil langkah pencegahan dan menggunakan lebih banyak kaedah pemadaman secara langsung sebagai strategi membantu mengawal serta memadamkan kebakaran daripada terus merebak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau memberitahu, kebakaran belukar di Lebih Raya Bandar Cassia, Simpang Ampat pada 14 Februari lalu adalah kejadian terkini yang melibatkan keluasan kira-kira 1.2 hektar.
Katanya, dalam kejadian itu pihaknya mengambil masa kira-kira tiga jam bagi membantu mengawal dan memadamkan kebakaran daripada merebak lebih luas.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai menghentikan aktiviti pembakaran terbuka susulan cuaca panas yang melanda negara ketika ini bagi mengelak daripada merebak dengan pantas hingga sukar dikawal.
Selain itu, katanya, penggunaan perkakasan elektrik atau elektronik dalam tempoh lama juga boleh mengundang risiko kejadian kebakaran termasuk di dalam bangunan atau premis.
Dalam perkembangan berkaitan, tambah beliau, pihaknya turut merekodkan kejadian kebakaran melibatkan bangunan dan isinya sebanyak 32 laporan; kenderaan (18); alat perkakasan (15); mesin dan gas masing-masing sebanyak tiga laporan setakat semalam. -UTUSAN ONLINE