Covid: MBPP, MBSP rekod kadar pematuhan SOP lebih 99% - Utusan Malaysia

Covid: MBPP, MBSP rekod kadar pematuhan SOP lebih 99%

ROZALI Mohamud (kanan) bersama Jagdeep Singh Deo semasa melakukan tinjauan di sekitar Menara MBSP Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/ ISWAN SHAFIQ ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 1.52 juta pemeriksaan berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) susulan pandemik Covid-19 telah dilaksanakan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sehingga Ahad lalu. 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, daripada jumlah itu, kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut mencatatkan kadar pematuhan SOP yang tinggi iaitu melebihi 99 peratus. 

“Berdasarkan data terkumpul, kadar pematuhan SOP yang direkodkan MBPP ialah sebanyak 99.73 peratus atau 673,548 pemeriksaan manakala MBSP sebanyak 99.38 peratus atau 843,352 pemeriksaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika sesi sidang akhbar berkaitan status terkini Covid-19 di Pulau Pinang serta pelancaran program ‘Scan, Park & Pay’ iaitu imbas dan bayar di Menara MBSP di sini. 

Yang hadir sama, Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud. 

Ketika ini, kata Jagdeep, sebanyak 9,906 kes kumulatif termasuk 91 kes baharu berkaitan Covid-19 direkodkan di negeri ini hingga semalam dengan jumlah kematian sebanyak 15 kes. 

Dalam perkembangan berasingan, Rozali menasihatkan orang awam tidak bimbang untuk berurusan di MBSP kerana kerja-kerja menyahkuman pada tempat yang kerap disentuh dilakukan antara sembilan hingga 18 kali sehari ketika ini. 

Bagaimanapun katanya, orang ramai digalakkan membuat pembayaran atau urusan-urusan lain yang berkaitan secara online dan MBSP telah menubuhkan satu pasukan khas iaitu ‘Pasukan Tanya Saya’ yang terdiri daripada enam kakitangan untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan berkaitan. 

“Pada masa sama, MBSP juga kini sedang giat mempromosikan program ‘Scan, Park & Pay’ di Pos Kawalan Keselamatan sebagai alternatif pilihan kepada pembayar cukai sedia ada. 

“Ini juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan kesesakan di kaunter berpusat ketika ini,” ujar beliau. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN