Covid-19:Sektor perkilangan dan pembuatan masih penyumbang tertinggi - Utusan Malaysia

Covid-19:Sektor perkilangan dan pembuatan masih penyumbang tertinggi

ADHAM Baba (kanan) bersama Dr. Sha’ari menunjukkan notis penutup kilang pemprosesan makanan di Taman Perindustrian Pulau Indah, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELABUHAN KLANG: Sektor perkilangan dan pembuatan masih lagi menjadi penyumbang tertinggi bagi kes Covid-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, daripada 236 sektor perkilangan dan pembuatan yang dilaporkan terlibat Covid-19, 203 masih lagi aktif.

“Semalam, kita dapati daripada 41,396 kes aktif yang direkodkan, 14,423 kes melibatkan sektor perkilangan dan pembuatan. Kluster tempat kerja dikesan masih penyumbang tertinggi kes Covid-19.

“Setiap hari terdapat kluster dikesan di sektor ekonomi. Namun, kita akan terus menumpukan untuk memastikan rantaian Covid-19 bagi kedua-dua sektor ini dapat diputuskan,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Dr. Adham diiringi Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman melawat sebuah kilang pemprosesan makanan di Taman Perindustrian Pulau Indah yang ditutup susulan terdapat pekerjanya positif Covid-19.

Kilang pemprosesan makanan di Taman Perindustrian Pulau Indah di sini mengambil keputusan menutup premisnya susulan 102 pekerja yang disaring, 57 daripadanya didapati positif Covid-19.

Dalam pada itu, Dr. Adham turut menyeru supaya mana-mana kilang yang pekerjanya positif Covid-19 menutup sementara premis mereka secara sukarela.

Jelasnya, dengan mengambil contoh kilang yang dilawatinya, pihaknya melihat kebolehan jangkitan hampir 50 peratus dan memerlukan ujian saringan dilakukan agar Covid-19 tidak disebarkan.

“Kilang-kilang ini perlu ditutup sementara supaya tiada pergerakan dan semua pekerja melakukan ujian saringan.

“Namun, untuk meneruskan aktiviti pengoperasian kilang bergantung kepada jumlah pekerja yang positif,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN