Covid-19 ‘pisahkan’ keluarga Kim Keok - Utusan Malaysia

Covid-19 ‘pisahkan’ keluarga Kim Keok

ROMBONGAN dari Cakna Kesihatan Pergigian HUSM menyerahkan sumbangan kepada keluarga Koh Kim Keok (kanan) di rumah mereka di Kampung Sireh Bawah Lembah, Kota Bharu semalam. Foto ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Empat daripada lapan anak Koh Kim Keok dari Kampung Sireh Bawah Lembah, di sini memeluk Islam, namun perbezaan agama itu tidak menjejaskan hubungan kekeluargaan sesama mereka.

Malah, ibu tunggal berusia 48 tahun itu tidak pernah gagal meneruskan tradisi makan besar bersama kelapan-lapan anaknya setiap kali menyambut kehadiran Tahun Baharu Cina.

Bagaimanapun tahun ini, tiada lagi makan besar berikutan dua anaknya yang bekerja di Singapura masih terkandas di sana, selain masalah kewangan yang menghimpit keluarga sejak Covid-19 melanda negara.

Ketika ditemui pemberita di sini semalam, Kim Keok mengakui, ahli keluarganya yang cukup erat selama ini biarpun berbeza agama dan kepercayaan, akhirnya ‘terpisah’ jua angkara pandemik.

“Tahun Baru Cina tetap disambut seperti biasa setiap tahun. Hubungan saya sebagai ibu dan anak-anak tidak akan terputus sampai bila-bila. Perbezaan agama tidak menjadi masalah.

“Asalkan masing-masing memahami apa yang boleh dan tidak boleh diamalkan atau dimakan. Cuma tahun ini sambutan raya cukup hambar kerana anak-anak tidak dapat balik,” katanya sambil menahan sebak.

Selepas suami, Ong Ban Awan meninggal dunia 11 tahun lalu akibat masalah hati bengkak, Kim Keok membesarkan anak-anak seorang diri dengan tiga daripada mereka berusia 13 hingga 17 tahun masih bersekolah.

Empat anak Kim Keok yang memeluk Islam ialah Muhammad Adam Haikal Ong, 26, dan Muhammad Danish Ong, 23 yang kini merantau ke Singapura serta Nur Hidayah Ong, 24, dan Nur Aisyah Ong, 21, yang tinggal bersamanya di kampung.

“Disebabkan pelaksanaan PKP, saya hilang punca rezeki kerana kedai makan tempat saya bekerja belum dibuka. Mujurlah anak-anak yang sudah dewasa ada mengirim wang bagi menampung perbelanjaan,” katanya.

Terdahulu, keluarga Kim Keok turut menerima kunjungan Cakna Kesihatan Pergigian, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Azlina Ahmad.

Rombongan turut disertai Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) cawangan Kelantan, Dr Johari Yap menyampaikan sumbangan dua set komputer riba kepada anak-anak Kim Keok bagi memudahkan mereka mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN