Clorox Malaysia dan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) mengambil inisiatif membantu mangsa banjir membersihkan kediaman mereka selepas bencana alam itu berlalu, baru-baru ini..
Inisiatif itu meliputi 4,000 unit produk pembersih dan pembasmi kuman untuk digunakan sebagai sebahagian daripada peralatan kebersihan bagi memudahkan proses pembersihan rumah mangsa banjir.
Pihak Mercy akan mengedarkan kit kebersihan yang merangkumi Clorox Bleach Original dan Clorox Expert Disinfecting Wipes untuk membersihkan rumah mereka sebelum didiami semula di kawasan yang dilanda banjir teruk iaitu Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu.
Pengarah Jualan dan Pemasaran Clorox Asia Tenggara, Paulo M. Lao berkata, pembersihan dan pembasmian kuman adalah sangat penting terutama selepas banjir kerana boleh menimbulkan risiko penyakit berjangkit seperti kencing tikus, kolera, demam kepialu dan Hepatitis A.
“Kami berasa gembira kerana produk pembersih dan pembasmi kuman kami dapat membantu membersihkan rumah-rumah secara berkesan untuk persekitaran yang selamat kerana Clorox percaya bahawa kebersihan adalah penting,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Mercy, Zuraidah Mian memuji kerjasama yang diberikan oleh Clorox berikutan situasi negara yang sedang dilanda wabak.
“Daerah-daerah yang dilanda banjir teruk memerlukan Air, Sanitasi dan Kebersihan (WASH) dengan segera. Keperluan ini meningkat akibat wabak Covid-19 yang berterusan.
“Kebersihan dan sanitasi yang baik adalah sangat penting untuk mematuhi SOP. Kami ucapkan terima kasih kepada Clorox Malaysia kerana memberi sumbangan produk pembasmi kuman yang menjadi asas alat kebersihan untuk mangsa banjir yang pulang ke rumah mereka,” jelasnya.