MARAN: Sebuah keluarga dari Felda Jengka 13 di sini cemas apabila Toyota Hilux dan tiga anak dalam kenderaan berkenaan dilarikan penjenayah selepas solat Subuh hari ini.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Norzamri Abd. Rahman berkata, kejadian berlaku antara pukul 6.45 hingga 7 pagi di tapak letak kereta Masjid Sultan Ahmad Shah, Bandar Tun Abdul Razak Jengka.
“Mangsa, Abdul Hadi Abdul Halim, 45, bersama isteri serta tiga anaknya berusia tiga tahun, lapan tahun dan 11 tahun singgah di masjid berkenaan untuk menunaikan solat Subuh.
“Abdul Hadi dan isteri sempat berpesan kepada anak lelakinya yang berusia lapan tahun untuk menguncikan pintu kereta, selesai solat mereka dapati kenderaan tersebut hilang,” katanya di sini hari ini.
Norzamri berkata, hasil siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga anak mangsa ditinggalkan di Simpang Felda Jengka 10 dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, kenderaan itu pula ditinggalkan oleh saspek di tepi jalan di kawasan Kampung Mahawangsa Sungai Jerik, berhampiran Felda Jengka 1.
“Antara barangan yang hilang ialah beg tangan isteri mangsa, telefon bimbit dan rantai emas,” katanya.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada meletakkan kenderaan di tempat gelap dan meninggalkan anak bersendirian dalam kenderaan kerana penjenayah sentiasa menanti peluang.
Tegasnya, kejadian berkenaan sebagai pengajaran agar masyarakat tidak meninggalkan kenderaan dalam keadaan enjin hidup, tidak berkunci dan meninggalkan anak kecil di dalamnya.