Cemar sungai, kilang berasaskan makanan dikompaun RM18,000 - Utusan Malaysia

Cemar sungai, kilang berasaskan makanan dikompaun RM18,000

PELEPASAN efluen tidak terolah yang dikesan oleh JAS Pulau Pinang berpunca dari kilang berasaskan makanan di Perai semalam. -IHSAN JAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Sebuah kilang berasaskan makanan di Perai dekat sini dikenakan kompaun sebanyak RM18,000 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri selepas didapati melepaskan sisa sehingga mencemarkan Sungai Perai. 

Terdahulu, Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung pencemaran air dan kes ikan mati di sungai itu, semalam.

Menurutnya, maklumat yang diterima daripada orang awam mendakwa  keadaan Sungai Perai tersebut tercemar dengan buih berwarna putih. 

Jelas beliau, siasatan lanjut pihaknya mendapati pelepasan tersebut berpunca daripada proses pembuatan serta aktiviti cucian dari salah sebuah kilang berasaskan makanan di kawasan Perai. 

Sehubungan itu, tegasnya, JAS Pulau Pinang mengeluarkan arahan kepada kilang tersebut supaya semua pelepasan efluen ke Sungai Perai yang berpunca daripada kilang tersebut dihentikan serta merta. 

“Tindakan kompaun telah dikenakan ke atas kilang tersebut di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009. 

“Kita juga telah mengeluarkan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 supaya kilang itu mengambil langkah-langkah kawalan bagi mengelakkan efluen tidak terolah dilepaskan ke Sungai Perai sebelum boleh beroperasi semula,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Sharifah Zakiah menambah, pihaknya akan meningkatkan rondaan dan pemantauan di sekitar kawasan Sungai Perai bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang. 

 “Kita juga merakamkan penghargaan kepada orang awam yang melaporkan mengenai kejadian ini dan sebarang aduan pencemaran boleh dilaporkan terus ke talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau email ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN