PETALING JAYA: Co-opbank Pertama (CBP) menyasarkan peningkatan pendapatan daripada perkhidmatan pajak gadai patuh syariah, ar-Rahnu mencecah sebanyak RM350 juta sepanjang tahun ini berbanding RM290 juta tahun lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Nor Abd. Razak berkata, pencapaian ini berikutan situasi semasa iaitu daripada impak Covid-19 yang menjadikan perkhidmatan ar-Rahnu sebagai pembiayaan mikro terutamanya dalam kalangan golongan penjaja dan peniaga kecil.
“Sejak tamat tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) sebelum ini, saya melihat ramai penjaja dan peniaga kecil menggunakan perkhidmatan pajak gadai konvensional atau ar-Rahnu bagi dijadikan modal untuk memulakan perniagaan.
“Konsep dibawa ini bukan perkara baharu kerana perkara ini sudah menjadi amalan dalam kalangan peniaga wanita terutama di kawasan Pantai Timur apabila mereka menggunakan emas sebagai modal pusingan perniagaan.
“Sehubungan itu, saya ingin menguar-uarkan kepada umum bahawa emas yang dicagar atau gadai boleh digunakan sebagai modal perniagaan terutama dalam tempoh pandemik ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Mohd Nor, ramai yang masih kurang sedar akan kelebihan dan memahami konsep pajak gadai Islam atau ar-Rahnu berbanding dengan aliran pajak gadai konvensional.
Jelasnya, mengikut laman web Kementerian Perumahan Kerajaan dan Tempatan (KPKT), tidak kurang empat juta penduduk di negara ini menggunakan perkhidmatan pajak gadai konvensional dengan hampir 300 pajak gadai di seluruh negara.
“Oleh demikian, saya rasa bertanggungjawab untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terutama pelanggan CBP supaya berhijrah daripada pajak gadai konsensional kepada ar-Rahnu.
“Ar-Rahnu berlandaskan 100 peratus patuh syariah, tiada riba, telus kerana emas dinilai menggunakan mesin khusus, bermutu tinggi dan mengikut piawaian prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan jika dibandingkan dengan pajak gadai konvensional yang dijalankan di luar kaunter,” katanya.
Tambahnya, bagi memastikan CBP menjadi peneraju perkhidmatan ar-rahnu, satu kempen khusus diadakan awal bulan ini dengan menawarkan kadar keuntungan 6.9 hingga tujuh peratus sahaja.
“Jika dibandingkan dengan pajak gadai Islam lain, kadar keuntungan maksimum adalah 12 peratus dan bagi pajak gadai konvensional pula sehingga 24 peratus yang juga jauh lebih tinggi jika dibanding kesemuanya.
“Kempen ini disasarkan dapat menjadikan CBP sebagai peneraju pasaran perkhidmatan pajak gadai Islam.
“Selain kempen, CBP juga menggunakan alternatif lain termasuk media massa bagi memberikan pendedahan kepada umum mengenai kelebihan pajak gadai Islam berbanding dengan pajak gadai konvensional,” katanya. -UTUSAN ONLINE