Caj penghantaran tinggi, pengguna perlu bijak - Utusan Malaysia

Caj penghantaran tinggi, pengguna perlu bijak

CHONG Fat Full (kiri) menyampaikan buah limau sempena sambutan Tahun Baharu Cina kepada wakil media dalam Program Santai Mesra Media di Pejabat Penerangan Daerah Segamat, Johor. -UTUSAN/FARAHWAHIDA AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Pihak berwajib akan terus memantau perkhidmatan penghantaran atas talian yang mengenakan caj terlalu tinggi lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. Chong Fat Full berkata, pihaknya sentiasa memantau isu tersebut yang menjadi ‘buah mulut’ masyarakat kini.

“Kita telah menerima banyak aduan mengenai kenaikan harga kos penghantaran yang melambung tinggi dikenakan kepada pengguna yang menempah makanan dan minuman secara atas talian sejak tahun lalu.

“Keadaan ini sukar untuk dikawal kerana ia adalah pasaran bebas. Hanya pengguna sahaja dapat bertindak termasuk ‘memboikot’ trend ini,” katanya ketika ditemui pada Program Santai Media Segamat di Pejabat Penerangan Segamat di sini, hari ini.

Aplikasi penghantaran makanan secara atas talian dilihat mengenakan caj penghantaran kepada pelanggan mengikut permintaan dan jarak lokasi kedai ke alamat pengguna.

Tidak terkecuali juga ada antara kedai menggunakan penghantar sendiri sehingga pengguna mengadu mereka dikenakan kos penghantaran yang tidak munasabah mencecah RM3.50 bagi setiap kilometer.

Justeru, Fat Full menasihatkan pengguna untuk lebih bijak memilih dan tidak menggunakan perkhidmatan yang mengenakan kos penghantaran yang tinggi bagi mengurangkan permintaan sekaligus dapat memaksa pihak yang terbabit menurunkan kos penghantaran.

Permintaan bagi penghantaran makanan dan minuman secara atas talian semakin meningkat sejak kerajaan melarang kedai makanan dan minuman beroperasi secara makan di kedai atau dine-in dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN