Butik percuma bantu golongan asnaf - Utusan Malaysia

Butik percuma bantu golongan asnaf

MOHD Effendey menunjukkan pakaian yang ada di #Boutique4Community iaitu projek butik pakaian percuma di Lorong Seri Repoh, Kampung Tok Larak, Jalan Arau-Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Prihatin dengan nasib golongan yang memerlukan khususnya asnaf, Persatuan Komuniti Sukarelawan Kebajikan Negeri Perlis (PVAC) mengambil inisiatif mewujudkan sebuah butik pakaian percuma.

Butik pakaian percuma atau #Boutique4Community yang terletak di Lorong Seri Repoh, Kampung Tok Larak, Jalan Arau-Kangar di sini, memberikan pakaian percuma kepada golongan memerlukan termasuk mangsa bencana melalui kaedah temu janji.

Pengerusi PVAC, Mohd Effendey Harun berkata, butik tersebut yang terletak di premis milik Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu mula beroperasi pada November tahun lalu, namun, kerja-kerja mengumpul barangan seperti pakaian, beg, kasut dan mainan untuk kanak-kanak sudah dimulakan pada Jun lalu.

Katanya, butik yang beroperasi secara temu janji tersebut menyediakan pakaian percuma untuk golongan yang memerlukan termasuk mangsa yang ditimpa bencana seperti kebakaran dan sebagainya.

“Buat masa ini, kami beroperasi secara temu janji lebih awal, supaya jumlah orang yang datang ke butik ini dapat dikawal dari semasa ke semasa terutamanya dalam tempoh pandemik Covid-19.

“Mereka yang datang ke butik ini boleh memilih lima barang setiap seorang. Jika keluarga itu terdiri daripada tiga orang maka mereka semua dapat keseluruhan 15 pakaian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Effendey turut mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai seperti pakaian baharu atau terpakai yang masih dalam keadaan baik terutamanya pakaian seragam dan kelengkapan sekolah.

Menurutnya, pakaian seragam dan kelengkapan sekolah ini sedikit sebanyak dapat membantu murid atau pelajar daripada keluarga yang memerlukan untuk membuat persiapan apabila sekolah secara bersemuka dibuka nanti.

“Butik tersebut dibuka dari pukul 10 pagi hingga 3 petang setiap hari kecuali Jumaat dan golongan memerlukan yang ingin mendapatkan baju tersebut boleh menghubungi nombor WhatsApp 01158889404 untuk membuat temu janji terlebih dahulu,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya