Buku teks Sejarah Tingkatan 4 diterbit melalui proses ketat - Utusan Malaysia

Buku teks Sejarah Tingkatan 4 diterbit melalui proses ketat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Buku teks Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Sejarah Tingkatan 4 telah mematuhi semua proses penerbitan bagi menjamin kualiti buku teks, termasuk ketepatan fakta.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan menyebut, penerbitan buku itu berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) KSSM Sejarah Tingkatan 4 serta mengikut Prosedur Operasi Standard Penerbitan Buku Teks KPM yang dikemas kini pada tahun 2018.

Katanya, pada 24 April 2018, DSKP KSSM Sejarah Tingkatan 4 telah diteliti, disemak dan diperakui sah oleh Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah KPM.

“Mereka adalah pakar sejarah seramai tujuh orang daripada pelbagai pengkhususan dan kaum. Kandungan DSKP KSSM Sejarah Tingkatan 4 adalah berpandukan Laporan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah KPM (2011- 2012).

“Pemilihan penulis buku teks pula adalah berdasarkan Tatacara Penerbitan Pakej Buku Teks Dewan Bahasa dan Pustaka dan mengikut kriteria khusus iaitu mempunyai latar belakang pendidikan sejarah serta berpengalaman menulis buku teks Sejarah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu menyebut, proses penerbitan buku teks KSSM Sejarah Tingkatan 4 telah melalui proses kawalan mutu yang ketat merangkumi pemetaan kandungan, penulisan manuskrip, penyediaan dan penyemakan pruf muka surat, naskhah sedia kamera, pemerakuan naskhah sedia kamera, naskhah contoh, apresiasi kulit buku teks dan kelulusan naskhah contoh bagi menyediakan naskhah edar.

“Proses ini melibatkan Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah KPM, Jawatankuasa Peningkatan Mutu Buku Teks, Jawatankuasa Pembaca Luar dan Jawatankuasa Penilaian Teknikal 4 KPM.

“Bagi mewasitkan fakta tertentu, KPM mendapatkan pengesahan fakta sejarah dan kandungan daripada agensi kerajaan yang terlibat seperti Arkib Negara, Muzium Negara, Persatuan Sejarah Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Setiausaha Kerajaan Negeri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya