Bongkar kegiatan proses minyak masak bersubsidi jadi minyak sembahyang - Utusan Malaysia

Bongkar kegiatan proses minyak masak bersubsidi jadi minyak sembahyang

PEGAWAI Penguat Kuasa  KPDNHEP Kulim memeriksa sebahagian minyak masak sabsidi yang di botol semula menjadi minyak sembahyang yang dirampas dalam serbuan di Taman Emas, Kulim semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membongkar kegiatan sebuah premis yang menyalahgunakan lesen runcit menjual minyak masak bersubsidi dengan memproses barang kawalan itu untuk dijadikan minyak sembahyang di Taman Emas, di sini, semalam.

Pemeriksaan ke atas premis tersebut dilakukan lima pegawai penguat kuasa KPDNHEP Cawangan Kulim kira-kira pukul 10.30 pagi berdasarkan maklumat risikan yang dijalankan selama dua minggu.

Ketua Cawangan KPDNHEP Kulim, Mohd. Fazly Edros memberitahu, hasil pemeriksaan mendapati wujud aktiviti membungkus semula minyak masak bersubsidi untuk dijadikan minyak sembahyang. 

“Minyak masak itu dibotolkan dengan kapasiti 750 mililiter (ml) dan dijual semula dengan harga RM3 sebotol. 

“Untuk makluman, minyak masak bersubsidi dikawal pada harga RM2.50 sepeket dengan berat satu kilogram (kg),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 63 tahun yang mengaku sebagai pemilik perniagaan itu untuk siasatan lanjut. 

“Berdasarkan keterangan lelaki terbabit, aktiviti pemprosesan minyak masak untuk sembahyang dijalankan di kediaman sendiri sejak tahun 2019 menggunakan minyak masak industri. 

“Namun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia hanya mampu membeli minyak peket sekilogram dan diproses menjadi minyak sembahyang untuk dijual kepada peniaga sekitar Kulim,” ujarnya.

Ujarnya, peniaga itu mendakwa sepeket minyak masak bersubsidi itu boleh mengeluarkan sebanyak dua botol minyak sembahyang.

“Siasatan awal mendapati perniagaan itu mempunyai lesen untuk berurus niaga minyak masak secara runcit dengan kuota penyimpanan sebanyak 1,000 kg pada satu masa. 

“Bagaimanapun, perniagaan ini tidak memiliki kebenaran untuk membungkus semula barang kawalan minyak masak,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya mengambil tindakan dengan menyita beberapa barangan antaranya 98 botol minyak sembahyang, 100 kg minyak masak peket, 182 bungkusan plastik minyak masak dan satu tangki simpanan minyak yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM773.40.

“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” tambahnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya