PUTRAJAYA: Penduduk di tiga buah negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dikenakan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diberi sedikit kelonggaran.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antaranya kebenaran bilangan yang makan di restoran, kapasiti penumpang kenderaan dan tetamu akad nikah di masjid.
“Setelah ambil kira rayuan pelbagai pihak, kerajaan bersetuju untuk beri sedikit kelonggaran yang sama bagi kawasan PKP bermula esok (hari ini),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau menyatakan demikian bagi mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) ekoran pelanjutan PKP selama dua minggu untuk Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Mengulas kelonggaran SOP itu, Ismail Sabri berkata, penduduk di negeri dikenakan PKP antaranya boleh makan di restoran tanpa perlu lagi dihadkan dua orang untuk satu meja.
“Sebaliknya Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan pelanggan ‘dine-in’ (makan di premis) mengikut keluasan meja berkenaan dengan ada jarak fizikal satu meter,” katanya.
Turut diberi kelonggaran sama seperti penduduk di negeri-negeri dikenakan PKPB dan PKPP ialah jumlah kapasiti penumpang dalam kenderaan yang mengikut bilangan tempat duduk.
Langkah itu jelas beliau, susulan keluhan ramai ibu bapa yang mempunyai anak ramai dan berasa bimbang tidak boleh ditinggalkan di kediaman apabila ada urusan penting di luar rumah.
“Begitu juga majlis akad nikah yang sebelum ini terhad di pejabat agama dengan bilangan tetamu beberapa orang sahaja, tetapi mulai esok boleh diadakan di masjid,” jelas Ismail Sabri.
Jumlah hadirin namun masih lagi dihadkan 20 orang iaitu masing-masing 10 orang bagi pihak keluarga pengantin lelaki dan perempuan serta tidak termasuk jurunikah dan dua orang saksi.
Keadaan ini berbeza di negeri-negeri yang dikenakan PKPB apabila jumlah hadirin dihadkan 50 peratus daripada keluasan masjid manakala PKPP pula hadirin dengan jarak satu meter.
“Bagaimanapun, kelonggaran tertakluk kepada kebenaran daripada pihak Majlis Agama Islam di negeri terbabit kerana urusan hal agama terletak di bawah bidang kuasa negeri,” katanya.
Ismail Sabri menambah, orang ramai boleh merujuk senarai lengkap aktiviti dibenarkan dan juga dilarang yang sudah pun dikemas kini kerajaan menerusi laman sesawang rasmi MKN.