GUA MUSANG: Lima beranak di Kampung Limau Kasturi 2, di sini bimbang dengan keselamatan mereka berikutan kejadian tebing runtuh yang berlaku berhampiran rumah sejak tujuh tahun lalu.
Keadaan terbaharu berlaku sebulan lalu pada musim tengkujuh sehingga sebuah bilik tidur terpaksa dikosongkan selepas sebahagian tanah dari kawasan tebing runtuh telah memasuki ruangan itu.
Pemilik rumah, Hassan Yahya, 65, berkata, setiap kali cuaca hujan, mereka tidak lena tidur kerana bimbang runtuhan tanah berlaku.
Katanya, kejadian paling teruk berlaku ketika banjir besar 2014 lalu apabila separuh rumahnya rosak akibat tebing runtuh itu.
“Saya sudah tidak larat apabila terpaksa membuang tanah yang runtuh menggunakan cangkul.
“Selain itu saya juga bimbang keselamatan isteri, dua anak serta keselamatan ibu yang berusia 80 tahun tidak dapat berjalan akibat sakit tua,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Limau Kasturi 2, di sini hari ini.
Sementara itu, isterinya, Noraini Mohamed Noor, 59, pula berkata, rumah yang didiami sejak lebih 30 tahun juga semakin usang hingga terdapat banyak bumbung bocor dimasuki air hujan.
Katanya, dia sedih dengan keadaan yang berlaku itu kerana tidak mampu mengatasinya kerana suaminya hanya bekerja sebagai penoreh getah.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff berkata, pihaknya menerima aduan daripada pemilik rumah terbabit.
Katanya, dia sudah melakukan kunjungan ke lokasi kejadian tiga hari lalu dan akan membantu keluarga berkenaan untuk menyodok tanah runtuh dalam masa terdekat menggunakan jentera.
“Selain itu, bantuan berkaitan yang diperlukan juga akan segera disalurkan kepada keluarga berkenaan,” katanya.- UTUSAN ONLINE