BATU PAHAT: Jalan Persekutuan Johor Bahru-Melaka berdekatan Kem Majidee di Jalan Tanjung Laboh, di sini merupakan laluan utama yang sering dilalui pengguna terutamanya dari arah Rengit untuk ke bandar ini.
Namun, setiap kali melalui jalan tersebut pada waktu malam, pengguna umpama melintasi satu kawasan yang sunyi, meskipun terdapat kawasan perumahan di situ disebabkan keadaan jalan yang gelap ekoran lampu tidak berfungsi.
Keadaan itu mengundang kebimbangan orang ramai yang turut menyaksikan beberapa kemalangan berlaku termasuk insiden meragut nyawa.
Ketua Kampung Minyak Beku, Datuk Mohd. Sehat Mahmud berkata, perkara itu sudah dibangkitkan dalam Mesyuarat Tindakan Daerah, namun, sehingga kini penduduk hairan kerana hal itu tidak diberikan perhatian pihak berkenaan.
“Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) maklum mengenai hal ini kerana apa yang kita lihat jalan gelap selepas Kem Majidee sehinggalah menghampiri Taman Banang Jaya.
“Masalah tiada lampu ini bukan dalam masa pendek, tetapi, sudah lama dan empat tahun lalu lampu isyarat yang dipasang di hadapan Kem Majidee itu juga turut tidak berfungsi selepas berlaku kemalangan.
“Apabila bergelap ditambah dengan kenderaan yang banyak termasuk penduduk di Taman Banang Golf Club, Taman Flora, Taman Evegreen dan Taman Banang Jaya, jalan ini semakin sibuk dan kerap berlaku kemalangan. Itu tak termasuk kenderaan keluar masuk ke Kampung Sungai Suloh, Patah Pedang, dan Sungai Suluh Besar,” katanya ketika ditemui, semalam.
Justeru, Mohd. Sehat hairan mengapa kerajaan tidak mengambil tindakan sewajarnya terutama dalam soal keselamatan orang ramai selain sikap pengguna sendiri yang memandu laju di lokasi gelap itu pada waktu malam.
Sementara itu, seorang pengguna, Shelleyna Hilmi, berkata, selain jalan gelap tersebut yang amat bahaya kepada pengguna, masalah garisan putih di jalan yang tidak kelihatan juga merisaukan mereka.
“Jika lalu dari Senggarang ke Batu Pahat selepas pukul 9 malam, pengguna tahulah macam mana keadaannya, sudah macam lalu kawasan hutan dan saya berharap pihak berwajib memahami masalah ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Biro Kebajikan Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (JPKD) Penggaram, Mohd. Hamidi Mad Tap, berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada penduduk dan cuba membawa perkara itu ke peringkat atasan.
“Kami memahami masalah dihadapi penduduk, meskipun perkara itu bukan dalam seliaan kami sepenuhnya, tetapi, sebagai tanda prihatin, kami akan bantu menyelesaikan perkara tersebut segera,” katanya. -UTUSAN ONLINE