Belum serius, Pulau Pinang hanya hilang 5% tanah jelapang padi - Utusan Malaysia

Belum serius, Pulau Pinang hanya hilang 5% tanah jelapang padi

HANYA lima peratus kawasan jelapang padi di Pulau Pinang menyusut sekali gus menggambarkan situasi itu masih belum serius. - pic hiasan kawasan padi - MUHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Hanya kira-kira lima peratus atau 677 hektar kawasan jelapang padi di seluruh negeri ini ditukar kepada penggunaan tanah lain termasuk bagi tujuan pembangunan komersial sehingga kini.

Disifatkan sebagai sesuatu yang belum serius, penukaran status tanah jelapang padi itu meskipun berlaku namun masih mengekalkan Pulau Pinang sebagai antara pengeluar padi utama negara khususnya bagi keperluan penduduk di negeri itu.

Menurut Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Mohd. Muhaimin Ibrahim, daripada jumlah itu, pengurangan tanah jelapang padi paling besar berlaku di daerah Seberang Perai Utara (SPU) membabitkan kehilangan seluas 370 hektar daripada 8,515 hektar keluasan sebelum ini.

Katanya, tiga lagi daerah iaitu Seberang Perai Tengah (SPT); Seberang Perai Selatan (SPS) dan Barat Daya masing-masing menyusut sebanyak 194; 98 dan 15 hektar.

“Memang ada berlaku pengurangan tanah jelapang padi di Pulau Pinang dalam tahun-tahun kebelakangan ini, namun bukan dalam skala mega atau besar dan penyusutan itu juga belum sampai ke tahap serius,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Secara keseluruhannya, Pulau Pinang memiliki seluas 12,105 hektar tanah jelapang padi di seluruh negeri itu ketika ini berbanding 12,782 hektar sebelum aktiviti pemutihan diluluskan.

Menurut Mohd. Muhaimin, sebahagian besar daripada seluas 677 hektar tanah jelapang padi yang ditebus guna itu digunakan bagi projek perumahan, tanah lot dan tanah lapang melibatkan keluasan kira-kira 193 hektar.

Selain itu, katanya, seluas 136 hektar pula ditukar menjadi kawasan perkampungan dan rumah manakala 79 hektar lagi dibina bangunan.

Jelas beliau, seluas 115 hektar tanah jelapang padi sebelum ini pula digantikan dengan tanaman lain termasuk tambahan seluas 84 hektar bagi projek tanaman kelapa sawit.

“Kira-kira 42 hektar pula dibangunkan dengan projek rumah burung manakala masing-masing seluas 13.6 hektar dan 14 hektar lagi diberikan bagi pembinaan infrastruktur jalan raya dan landasan berkembar kereta api,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya